Kisah hidup Rasulullah
SAW yang
menunjukkan betapa tingginya sifat kasih sayang baginda.
1. Pernah seorang Arab Badwi
menarik dengan begitu kasar jubah buatan Najran yang kasar kainnya, yang
dipakai oleh Rasulullah SAW hingga berbekas leher baginda. Tetapi Rasulullah
SAW tidak marah, malah menghadiahkan jubah itu kepada Arab Badwi
tersebut.
2. Seorang wanita tua selalu
menyakiti Rasulullah SAW dengan meletakkan duri, najis dan lain-lain halangan
di jalan yang selalu dilalui oleh Rasulullah SAW. Namun Rasulullah SAW tidak
bertindak balas. Pada satu ketika apabila wanita itu sakit, Rasulullah SAW
menziarahi dan menunjukkan kasih sayang terhadapnya. Wanita tua itu terharu
dengan kebaikan Rasulullah, lantas memeluk Islam di
tangan baginda.
3. Rasulullah SAW pernah dilihat
oleh para Sahabatnya mencium anak kecil, lantas seorang Sahabat menegurnya,
“Engkau mencium anak kecil, ya Rasulullah?” Kerana pada sangkaannya Rasulullah
tidak pernah mencium anak kecil. Baginda mengiyakan lantas bersabda, “Barang
siapa tidak mengasihi, dia tidak akan dikasihi.”
4. Rasulullah SAW sangat mengasihi
Sahabat-sahabatnya. Jika seorang Sahabat sudah dua tiga hari tidak kelihatan,
baginda akan bertanya, “Ke mana perginya si polan si polan itu…”
5. Jika ada orang yang meminta
tolong pada Rasulullah SAW, tidak pernah baginda tidak menunaikannya. Baginda
sangat prihatin dan amat mengambil berat kesusahan orang lain. Rasulullah SAW
bersabda: “Barang siapa yang menunaikan satu hajat saudaranya, akan ALLAH
tunai 70 hajatnya.”
6. Pernah satu ketika seorang Arab
Badwi kencing di satu sudut dalam Masjid Nabi. Ada di antara para Sahabat marah
kerana sikap tidak beradab itu. Tetapi Rasulullah SAW tetap tenang dan berkata,
“Biarkan dia menyelesaikan hajatnya…” Setelah lelaki tersebut selesai,
Rasulullah SAW sendiri membasuh najis itu dan kemudiannya barulah memberitahu
Arab Badwi tersebut adab-adab di dalam masjid.
7. Ketika Rasulullah
SAW berdakwah dengan anak angkatnya Zaid bin Harisah di Thaif, baginda telah
dibaling dengan batu oleh kanak-kanak dan pemuda-pemuda nakal yang disuruh
berbuat begitu oleh penduduk kota tersebut. Akibatnya, lutut Rasululah SAW
telah berdarah. Melihat penganiayaan itu, malaikat sangat marah sehingga
menawarkan untuk menghempap penduduk Thaif dengan bukit-bukit sekitar bandar
itu. Tetapi Rasulullah SAW menolaknya dan berkata, “Jangan, mereka tidak tahu saya
ini rasul-Nya.” Malaikat menjawab: “Tuan benar.” Selepas itu baginda terus
berdoa untuk penduduk Thaif: “Ya ALLAH berilah
petunjuk bagi kaumku, mereka tidak mengetahui.”
8. Pernah seorang Sahabat duduk
secara menghimpit paha atas paha dengan Rasulullah SAW. Baginda membiarkannya
sahaja untuk menjaga hati Sahabat tersebut supaya tidak menganggap yang
Rasulullah SAW tidak sudi duduk bersamanya.
9. Sewaktu hijrah ke Madinah,
Rasulullah SAW telah dikejar dengan kuda oleh seorang bernama Suraqah yang
bercita-cita merebut hadiah yang ditawarkan oleh kafir Quraisy Makkah jika
berjaya membunuh Rasulullah SAW. Setiap kali kuda Suraqah mendekati Rasulullah
SAW, setiap kali itulah kudanya tersungkur jatuh. Rasulullah SAW tidak
bertindak apa-apa. Rasulullah memaafkannya. Akhirnya Suraqah menyerah dan
berjanji tidak akan cuba
membunuh Rasulullah SAW lagi.
10. Satu ketika seorang musuh
bernama Da`thur mendapati Rasulullah SAW sedang berehat di satu batu. Dia terus
melompat dan meletakkan pedangnya di leher Rasulullah SAW dan berkata, “Siapa
yang akan menyelamatkan nyawa kamu dan tanganku?”
Rasulullah SAW spontan menjawab,
“ALLAH!”
Mendengar jawapan Rasulullah itu,
Da`thur menggeletar hingga pedangnya jatuh daripada tangan.
Rasulullah SAW mengambil pedang itu
dan bertanya, “Kali ini siapa yang akan menyelamatkan kamu dari tanganku?”
Da`thur tergamam dan menjawab,
“Tiada siapa.”
Akhirnya Rasulullah
SAW memaafkan Da`thur. Melihat kasih sayang yang ditunjukkan oleh Rasulullah
SAW itu, Da`thur pun mengucap dua kalimah syahadah (masuk Islam).
11. Rasulullah SAW sangat penyayang
dengan anak-anaknya dan bertimbangrasa dengan isteri-isterinya. Pada kesilapan
isteri-isterinya, baginda selalu memberi maaf. Baginda juga membantu
kerja-kerja rumah dan menampung jubah dan kasutnya sendiri.
12. Rasulullah SAW selalu berjalan
dengan fakir miskin dan sering menziarahi janda-janda, bertanya akan keperluan
hidup mereka. Bahkan dengan orang-orang miskin dan melarat, baginda selalu
duduk bersama mereka, berbual, makan minum dan bermesra dengan mereka.
13. Pernah di satu pagi Hari Raya,
Rasulullah SAW bertemu seorang kanak-kanak yang menangis di tepi jalan. Baginda
terharu dan bertanya, “Mengapa engkau menangis?” Kanak-kanak tersebut menjawab,
“Ayah saya telah mati syahid sementara ibu saya sudah berkahwin lain. Nasib saya
terbiar dan saya tidak ada baju barn dan lain-lain persediaan untuk berhari
raya.” Rasulullah SAW mengalirkan air mata mengenangkan nasib kanak-kanak
tersebut. Baginda berkata: “Sukakah kamu kalau aku menjadi ayahmu dan Aisyah
(isteri Rasulullah) menjadi ibumu?” Sungguh tidak terkira gembiranya rasa hati
kanak-kanak itu, bila mendengar Rasulullah SAW yang mulia menjadi ayahnya.
Baginda pun membawa pulang kanak-kanak tersebut ke rumahnya. Kanak-kanak itu
dimandikan, dipakaikan dengan baju raya dan dijamu makan. Betapa gembiranya
hati kanak-kanak itu, begitulah gembiranya hati Rasulullah SAW kerana dapat
menggembirakannya.
14. Pada ketika yang lain, dalam
perjalanan menuju ke pasar, Rasulullah SAW melihat seorang budak (hamba sahaya)
sedang menangis di tepi jalan. Bila baginda tanyakan mengapa menangis, budak
itu menjawab bahawa dia menangis kerana duit yang diberi oleh tuannya telah
hilang. Rasulullah SAW terus mengganti duit yang hilang itu dengan duit baginda
sendiri. Tetapi apabila baginda balik dari pasar, dilihatnya budak yang sama
masih menangis. “Kenapa kamu masih menangis?” tanya Rasulullah SAW. “Kali ini
saya menangis kerana takut dimarahi dan dipukul oleh tuan saya kerana saya
sudah terlambat pulang dan pasar,” jawab budak itu.
Untuk mengelakkan budak itu daripada
dimarahi, Rasulullah SAW sendiri menemaninya pulang. Rupanya rumah itu dihuni
oleh sekumpulan wanita. Rasulullah SAW terus memberi salam. Setelah tiga kali
memberi salam, barulah salam Rasulullah SAW itu dijawab. Rasulullah SAW
bertanya, “Apakah kamu tidak dengar salam saya sebelumnya?” Wanita-wanita itu
menjawab, “Kami dengar, tetapi sengaja kami tidak jawab supaya kami mendapat
doa daripada Rasulullah SAW banyak kali…”
Rasulullah SAW terus menerangkan
mengapa budak itu lambat. Baginda meminta supaya budak itu tidak dirotan,
tetapi sekiranya mereka tidak puas hati, Rasulullah menawarkan dirinya sebagai
ganti untuk dirotan. Lantas Rasulullah SAW menyingsing lengan bajunya.
Mendengar kata Rasulullah SAW itu, kumpulan wanita itu lantas berkata, ” Tidak,
ya Rasulullah. Mulai sekarang, kami merdekakanlah budak ini.” Itulah kesan
kasih sayang yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.
16. Rasulullah SAW berjiran dengan
seorang Yahudi. Baginda sangat menjaga hak-hak jiran. Baginda tidak pernah
melakukan sesuatu yang menyakiti hati jirannya malah baginda selalu
menghadiahkan makanan dan lain-lain hadiah kepada jiran Yahudinya itu.
17. Rasulullah SAW juga sangat
mengambil berat tentang hak-hak kafir zimmi. Baginda bersabda: “Siapa yang
menzalimi kafir zimmi walaupun orang Islam sayalah pembelanya (penebusnya).”
18. Rasulullah SAW juga sangat
mengasihi binatang. Baginda melarang kanak-kanak menyeksa binatang. Untuk
menyembelih binatang, Rasulullah SAW berpesan supaya menggunakan pisau yang
tajam, agar binatang tersebutcepat mati dan tidak lama dalam kesakitan.
Rasulullah SAW sering mengingatkan supaya unta-unta dan himar tidak dibebani
oleh muatan yang berlebihan daripada apa yang sanggup ditanggung. Pernah seekor
kucing tidur atas serban Rasulullah SAW. Maka baginda menggunting bahagian
tempat kucing itu tidur di atasnya kerana tidak mahu mengejutkan kucing
tersebut. Ketika dalam perjalanan dan Madinah ke Makkah di tahun kemenangan,
Rasulullah melihat seekor anjing di tepi jalan. Anjing itu mengeluarkan suara
seakan-akan membujuk anaknya yang sedang mengerumuninya untuk menyusu. Maka
Rasulullah meminta seorang Sahabat untuk menjaga jangan sampai ada dan kalangan
anggota rombongan baginda yang mengganggu anjing itu dan anak-anaknya. Ketika
Rasulullah melihat seekor himar yang telah diberi tanda dengan besi panas di
mukanya, baginda menentangnya dan melarang haiwan diberi tanda dan dipukul di
mukanya.
19. Ketika Rasulullah meninggalkan
kabilah Saqif, ada seorang lelaki yang memohon kepada beliau, “Wahai Rasulullah,
berdoalah untuk kebinasaan mereka.” Rasulullah berkata, “Ya ALLAH, berilah
petunjuk kepada kabilah Saqif dan bawalah mereka (ke jalan yang benar).”
20. Satu ketika Abu Zar keluar
bersama hamba sahayanya yang berpakaian seperti apa yang beliau pakai, lalu ada
orang bertanya, “Mengapa kamu berbuat demikian?” Abu Zar menjawab, beliau
mendengar Rasulullah berkata: “Hamba sahaya itu adalah saudaramu, mereka di
jadikan oleh ALLAH di bawah kekuasaanmu. Maka barangsiapa saudaranya di bawah
kekuasaannya (di bawah jagaannya), hendaklah dia memberi makan dengan apa yang
dia makan dan memberi pakaian dengan pakaian yang is pakai, dan janganlah hamba
itu disuruh melakukan pekerjaan di luar batas kemampuannya. Apabila mereka
diperintahkan bekerja maka bantulah mereka.”
INILAH sebahagian daripada
cerita-cerita sebagai bukti betapa pengasih dan pemaafnya Rasulullah SAW, model
agung kecintaan yang paling unggul dan patut dicontohi oleh manusia sepanjang
zaman. Cerita-cerita itu menunjukkan betapa kasih dan sayangnya Rasulullah SAW
sama ada kepada manusia atau bintang, yang sepatutnya dicontohi oleh umat Islam.
Mohon izin copy ya
BalasHapus